-
Musim cuti sekolah ini pasti dipenuhi pelbagai aktiviti seperti
mengunjungi tempat menarik atau pun melawat saudara mara.
Kesempatan itu bagaimanapun, memerlukan individu memandu
pada tempoh lama. Ada yang suka memandu pada awal pagi
dan tidak kurang juga yang gemar memulakan perjalanan pada
sebelah malam.
-
Memandu pada waktu tengah hari misalnya, mudah
mengundang rasa mengantuk, apatah lagi berada di dalam
kenderaan yang dipasang sistem pendingin hawa yang
berfungsi baik sekali gus mewujudkan suasana selesa untuk
melelapkan mata.
-
Atas dasar itu serta nasihat kepada pengguna jalan raya supaya
berhenti rehat jika rasa mengantuk, sememangnya memberikan
banyak pilihan kepada pemandu untuk berehat seketika dan
tidur di dalam kenderaan.
-
Tidak hairanlah jika berhenti di mana-mana kawasan rehat
sepanjang lebuh raya, pasti kelihatan kenderaan yang enjin dan
pendingin hawa dihidupkan dengan pemandunya kelihatan
terbaring diulit lena, mungkin kerana terlalu penat selepas
memandu lama.
-
Namun, mungkin ramai tidak menyedari bahawa peredaran
udara di dalam kenderaan statik atau tidak bergerak dan
dipasang pendingin hawa adalah jauh berbeza dengan
kenderaan yang bergerak dan turut dipasang pendingin hawa.
-
Hakikatnya, kenderaan bergerak mempunyai suhu dalaman
yang lebih sejuk kerana mendapat bantuan udara luar semasa
bergerak berbanding kenderaan statik yang agak panas
disebabkan hanya bergantung kepada pengedaran dalaman saja.
-
Ini bermakna, tidur dalam kenderaan dengan sistem pendingin
hawa terpasang juga berisiko, bukan setakat boleh menghilangkan
penat dan mengantuk, bahkan boleh menyebabkan nyawa
melayang jika berlaku masalah kebocoran tanpa disedari.
-
Tidak hairanlah istilah mati ketika tidur dalam kenderaan,
sememangnya biasa didengari. Malangnya, tidak ramai berminat
membincangkannya sedangkan aspek keselamatan inilah yang
menentukan sama ada anda selamat dalam kenderaan sendiri
atau kereta itu sebenarnya menjadi perangkap maut.
-
Lebih sukar, lazimnya pengguna jarang menyedari berlakunya
masalah seperti kebocoran pada sistem pendingin hawa atau
terhidu gas karbon monoksida berlebihan yang menjadi antara
punca mati mengejut di dalam kenderaan.
-
Pengerusi Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Tunku Datuk
Mudzaffar Tunku Mustapha, menjelaskan kebocoran yang kerap
berlaku pada sistem kenderaan ialah membabitkan sistem ekzos,
sistem brek dan ‘clutch,’ sistem enjin seperti minyak enjin dan
minyak transmisi.
-
Kebocoran juga boleh berlaku pada sistem penyejukan iaitu
radiator, hose atau saluran, pam air dan gas pendingin hawa.
-
Jika kebocoran pada sistem hawa dingin, ia boleh dikesan
dengan alat ‘gas leak detector’. Biasanya, jika ada masalah
kebocoran gas, ia akan berlaku pada penyambungan atau
‘cooling coil’ dan gas berkenaan akan meresap ke udara.
-
Jenis gas yang digunakan adalah freon gas (R134a) tetapi ia
tidak beracun, mesra alam, tidak mengandungi CFC (Clorofluro
Carbon), tidak berwarna, tidak berbau dan tidak menyumbang
kepada kenipisan lapisan ozon.
-
Namun, kata Tunku Mudzaffar, walaupun gas hawa dingin jenis
R134a dikategorikan sebagai mesra alam dan selamat, ia cuma
banyak digunakan untuk kenderaan baru sedangkan kenderaan
lama yang dikeluarkan sebelum 1990 sebenarnya menggunakan
gas berbeza iaitu jenis R12.
-
Gas R12 mengandungi CFC (Clorofluro Carbon), tidak mesra
alam dan turut menyumbang kepada kepanasan rumah hijau.
Sebab itulah, perlu ditegaskan, bukan semua jenis kenderaan
yang sama jenis mempunyai tahap keselamatan yang sama,
bergantung kepada usia, tahap penggunaan dan kerosakan.
-
Paling penting, orang ramai perlu maklum akan kepentingan
sistem pendingin hawa itu sendiri.
-
Sistem penghawa dingin dipasang bertujuan mewujudkan
rasa selesa kepada penumpang dan pemandu, bukannya untuk
tidur lama. Oleh itu, pemilik kenderaan perlu pastikan sistem
kenderaan mereka diselenggara setiap enam bulan sekali.
-
Orang ramai perlu membuang sikap tidak ambil peduli kerana
ini bukan setakat soal keselesaan semata-mata tetapi
keselamatan nyawa sendiri dan orang tersayang.
-
Justeru, selain lebih peka kepada kepentingan penyelenggaraan,
pemilik kenderaan juga perlu mengamalkan perbuatan membuka
bonet kereta dan periksa secara kasar setiap pagi ketika
memanaskan kenderaan. Itu adalah amalan yang baik kerana jika
berlaku kebocoran serius, ia boleh dikesan awal.
-
Apakah pula masalah yang timbul jika berlaku kebocoran pada
ekzos, karburator yang dikatakan boleh menyumbang kepada
penghasilan racun akibat penghasilan karbon monoksida yang
terlalu banyak?
-
Ini menyebabkan penggunaan minyak petrol yang berlebihan,
enjin hilang kuasa dan jika gas karbon monoksida masuk ke
dalam kenderaan, ia akan menyebabkan pemandu, penumpang
berasa pening, loya, kurang selesa dan beracun.
-
Jika karburator bocor dan mengalir ke kawasan panas seperti
ekzos, ia boleh menyebabkan kebakaran. Pemandu dan
penumpang akan berasa kurang selesa, sesak nafas jika bau
petrol merebak ke dalam kenderaan.
-
Itulah antara punca yang menyebabkan kematian mengejut
disebabkan terhidu gas karbon monoksida terlalu lama dan jika
terbakar, pemandu mungkin terperangkap di dalam kenderaan
kerana sedang tidur.
-
Ada yang menasihatkan jika ingin tidur di dalam kenderaan,
pastikan cermin tingkap tidak ditutup terlalu rapat bertujuan
memastikan berlakunya pengedaran keluar masuk udara di
dalam dan luar kenderaan. Bahkan, jika berlaku kebocoran gas,
ia tidak terperangkap sepenuhnya di dalam kenderaan.
-