Selasa, September 15, 2009

CERITA SEBUTIR KURMA


Selesai menunaikan ibadah haji, Ibrahim bin Adham berniat
ziarah ke Masjidil Aqsa. Sebagai bekal dalam perjalanannya,
beliau membeli 1kg kurma dari seorang pedagang tua dekat
Masjidil Haram.

Setelah kurma itu ditimbang dan dibungkus, Ibrahim terlihat
sebiji kurma tertinggal di tepi penimbang. Menyangkakan kurma
itu adalah daripada bahagian yang dibelinya, Ibrahim terus
mengambil dan memakannya.

Kemudian beliau terus berangkat menuju ke Masjidil Aqsa. Empat
bulan kemudian, Ibrahim tiba di Masjidil Aqsa. Seperti biasa,
beliau sentiasa memilih tempat beribadah yang sama, iaitu satu
ruang di bawah kubah Sakhra. Beliau kemudian solat dan berdoa
dengan amat khusyuk sekali.

Tiba-tiba beliau mendengar percakapan dua malaikat berkenaan
dirinya. "Itu ialah Ibrahim bin Adham, ahli ibadat yang zuhud
dan warak yang mana doanya sentiasa dikabulkan Allah S.W.T.,"
kata malaikat pertama. "Tetapi sekarang tidak lagi. Doanya telah
ditolak kerana empat bulan yang lalu, dia telah memakan sebiji
kurma yang jatuh dari meja seorang pedagang tua berdekatan
Masjidil Haram," jawab malaikat yang seorang lagi.

Ibrahim bin Adham amat terkejut. Beliau tersentak. Rupa-rupanya
selama empat bulan lepas ibadatnya, solatnya, doanya dan amalan-
amalannya yang lain tidak diterima oleh Allah S.W.T. gara-gara
memakan sebiji kurma yang bukan haknya.

"Astaghfirullahal Adzhim," Ibrahim beristighfar. Beliau terus
berkemas untuk berangkat pulang ke Mekah untuk menemui
pedagang tua yang menjual kurma kepadanya empat bulan lalu
bagi meminta dihalalkan sebiji kurma yang telah dimakannya.

Setelah sampai di Mekah, beliau terus menuju ke tempat penjual
kurma itu tetapi beliau tidak menemui pedagang tua berkenaan
melainkan hanya seorang anak muda.

"Empat bulan yang lalu, saya telah membeli kurma di sini dari
seorang pedagang tua. Anak tahu di mana dia sekarang?" tanya
Ibrahim kepada anak muda itu. "Ayah sudah meninggal dunia
sebulan yang lepas, sekarang saya yang meneruskan perniagaan
ayah menjual kurma," jawab anak muda tersebut.

"Innalillahi Wa Innailaihi Roji'un. Kalau begitu, kepada siapa
saya harus meminta penghalalan?" Lantas Ibrahim pun
menceritakan peristiwa yang berlaku empat bulan yang lepas
sementara anak muda itu mendengar dengan penuh minat.

"Begitulah," kata Ibrahim setelah selesai bercerita, "Jadi anak
sebagai waris orang tua itu, bolehkah anak menghalalkan sebiji
kurma milik ayahmu yang telah terlanjur aku makan tanpa
izinnya?"

"Bagi saya tiada masalah, insya Allah saya halalkan. Tapi entah
bagaimana dengan adik-beradik saya yang kesemuanya sebelas
orang. Saya tidak layak mewakili mereka kerana mereka juga
mempunyai hak pewarisan yang sama sebagaimana saya," jawab
anak muda itu.

"Jika begitu, di mana tempat tinggal adik beradikmu semua?
Biar saya menemui mereka seorang demi seorang," ujar Ibrahim
kepada anak muda itu setelah mengetahui masih ada orang
yang berhak pada kurma yang dimakannya dulu.

Setelah menerima alamat-alamat daripada anak muda itu,
Ibrahim bin Adham pun meneruskan niatnya untuk meminta
halal daripada waris pedagang tua. Walaupun tempatnya yang
jauh, akhirnya ia selesai juga. Mereka semua bersetuju untuk
menghalalkan sebiji kurma milik ayah mereka yang termakan
oleh Ibrahim.

Empat bulan kemudian, Ibrahim bin Adham sudah berada
semula di bawah kubah Sakhra Masjidil Aqsa. Tiba-tiba beliau
terdengar lagi dua malaikat yang dulu bercakap-cakap.

"Ya, itulah Ibrahim bin Adham yang doanya tertolak gara-gara
memakan sebiji kurma milik orang lain," kata malaikat yang
pertama. "Oh tidak, sekarang doanya sudah makbul semula.
Dia telah mendapat penghalalan daripada semua pewaris
pemilik kurma itu. Diri dan jiwa Ibrahim kini telah bersih
kembali dari kotoran sebiji kurma yang haram kerana masih
menjadi milik orang lain. Sekarang dia sudah bebas," berkata
pula malaikat yang kedua.

IKTIBAR:
Berhati-hatilah dengan makanan yang masuk ke dalam tubuh
badan kita dan menjadi darah daging kita. Adakah ia bersih
dan halal? Lebih baik kita hindarkan apabila berasa ragu-
ragu sebagai langkah selamat.