Upacara memanaskan enjin adalah antara amalan yang
sinonim dengan hampir semua pengguna kenderaan di
seluruh negara. Tidak kiralah samada pemandu kereta,
lori, van, bas sekolah, kereta kebal, motosikal berkuasa
rendah dan sebagainya termasuklah helikopter. Biasanya
amalan ini dilakukan pada waktu pagi sebelum ke tempat
kerja atau ke sebarang destinasi.
Ada yang memanaskan enjin selama satu minit. Ada yang
memanaskan enjin selama lima minit. Ada yang keluar
rumah, hidupkan enjin kereta, masuk rumah, sarapan, pakai
stokin, pakai kasut, kunci pintu dan baru terhegeh-hegeh
masuk kereta untuk memulakan perjalanan. Boleh dikatakan
memakan masa dalam 15 minit juga.
Orang-orang yang macam itu agaknya mesti bangun awal
punya. Semua ini dilakukan kononnya demi untuk menjaga
enjin. Demi untuk memastikan jangka hayat enjin panjang
dan sentiasa berprestasi tip-top.
Masalahnya sekarang, di manakah pelajaran tentang
memanaskan enjin ini diajar? Kalau tak silap, masa sekolah
dulu pun tidak ada pun cikgu-cikgu yang pandai-pandai
ajar pasal benda ini. Masa pergi ambil kursus memandu di
JPJ pun tidak ada belajar benda-benda macam ini. Di
univesiti pun tidak ada belajar. Sekolah-sekolah agama
rakyat pun tidak ada menyediakan tajuk ini di dalam silibus
pembelajaran mereka. Jadi di mana?
Berdasarkan pemerhatian dan dengan sedikit kajian,
upacara pemanasan enjin telah dilakukan sejak zaman-
berzaman. Mula-mula mungkin datuk nenek kita start
panaskan enjin kereta dia sebelum pergi sekolah kerja guru
besar. Kemudian bapa-bapa kita pula bila dah pakai kereta,
mereka teringat pula amalan datuk-datuk mereka masa nak
pergi sekolah dulu.
Jadi bapa-bapa kita pun setiap pagi sebelum hendak pergi
kerja, panaskanlah juga enjin Volvo kegemarannya. Kemudian
bila kita semua sudah besar, dah pakai kereta sports dua
pintu, kita semua pula ikut panaskan enjin kereta.
Tapi sebenarnya saya tidak buat sebab saya ada sedikit ilmu
pengetahuan tentang enjin. Tambah lagi biasanya saya
bangun lambat. Soalnya sekarang, adakah pemanasan enjin
ini perlu dilakukan? Apa kebaikannya dan apa keburukannya?
Lagi satu kalau anda bijak laksana, siapa orang yang mula-
mula panaskan enjin kenderaan di Malaysia ini?
Di negara-negara yang mementingkan penjagaan alam sekitar
untuk kehidupan dunia yang lebih baik di masa mendatang,
pemanasan enjin adalah tidak digalakkan dan sesetengahnya
ditegah. Kanada telah memulakan kempen nasional mereka
untuk mengurangkan pemanasan enjin yang tidak diperlukan.
Kempen yang sama turut dilakukan di Jepun, United Kingdom
dan di Amerika Syarikat. Ada di antaranya sudah menetapkan
satu undang-undang bahawa enjin kenderaan tidak boleh
dibiarkan hidup dalam keadaan terbiar (idling) melebihi lima
minit atau tiga minit bagi kenderaan ringan.
Kenapa perkara ini ditegah? The Canadian Office of Energy
Efficiency telah bersetuju bahawa cara yang terbaik untuk
memanaskan enjin adalah dengan memandunya. Walaupun
suhu persekitaran berada di takat -20 darjah Selsius, mereka
menyarankan enjin kenderaan hanya perlu dipanaskan pada
sekitar 15-30 saat sebelum meluncur ke jalanraya.
Bayangkanlah berapa agaknya suhu di Malaysia? Saya rasa
memang dah tidak payah hendak panaskan enjin lagi dah.
Start kereta terus jalan saja.
Salah seorang jurutera penghantaran kuasa di Ford Amerika
Syarikat iaitu Les Ryder berkata, "Engines runs best at their
design temperature". Berdasarkan kenyataan Encik Les
Ryder itu, operasi enjin yang cekap, bersih dan efisien hanya
berlaku pada suhu enjin di tahap 85-90 darjah Selsius. Oleh
itu membiarkan enjin di dalam keadaan terbiar (idling)
adalah bukan cara yang terbaik atau terpantas untuk
memanaskan enjin. Lebih baik jika memandunya atau
dengan kata lain stail Amerika, lagi 'gentle' kalau pandu terus.
Tabiat memanaskan enjin atau membiarkan enjin berada di
dalam keadaan terbiar (idling) dikatakan adalah satu
perkara yang tidak baik dan tidak berfaedah. Pertamanya ia
menyebabkan pembakaran bahan api tidak dapat dilakukan
dengan sempurna. Pembakaran tidak lengkap membawa kesan
buruk kepada dinding silinder.
Sisa bahan api yang tidak terbakar akan turun ke dinding
silinder lalu membersihkan minyak pelincir yang berada di
dinding silinder. Maka apa yang terjadi adalah dinding
silinder akan mengalami kehausan akibat tiada pelinciran
di bahagian-bahagian yang sepatutnya. Bahan api yang tidak
terbakar juga boleh jadi akan turun perlahan-lahan ke
bahagian takung minyak pelincir. Apabila ia bergaul, sifat
minyak pelicir akan berubah dan hilang kecekapannya.
Di samping itu, tabiat ini juga boleh mendatangkan masalah
kepada palam pencucuh. Ia akan mengganggu suhu kerja
palam pencucuh. Palam pencucuh yang tidak berada di suhu
sepatutnya akan menjadi kotor. Oleh yang demikian, ia akan
mendatangkan kesan kepada peningkatan bahan api
sebanyak 5%.
Pada waktu pagi, sesetengah kenderaan biasanya akan
mengeluarkan wap dari ekzos. Wap itu bukanlah wap minyak
daripada enjin yang mengalami kehausan. Ia adalah wap air
normal yang terhasil daripada enjin yang sejuk. Jadi apabila
terlalu lama enjin dibiarkan dalam keadaan terbiar (idling),
bertambah lama untuk enjin mengambil masa untuk panas.
Ini menyebabkan wap air akan sentiasa berada di dalam
sistem ekzos yang mana akan menjadikan paip ekzos cepat
berkarat.
Kenderaan pada masa kini biasanya akan terdapat sebuah
komponen yang dinamakan Catalytic Converter pada sistem
ekzosnya.Kereta-kereta Malaysia pun rasanya sudah mula
guna sistem ini. Komponen ini disediakan bertujuan untuk
mengurangkan tahap toksik yang terdapat pada sisa atau
hasil pembakaran sesebuah enjin pembakaran dalaman.
Antara kerja yang dilakukan komponen ini termasuklah
mengubah karbon monoksida kepada karbon dioksida,
mengurangkan nitrogen oksida kepada nitrogen dan air,
mengoksidakan hidrokarbon yang tidak terbakar kepada
karbon dioksida dan air dan sebagainya. Jadi faedah yang
boleh diperolehi daripada komponen ini ialah pencemaran
udara dapat diminimakan.
Walau bagaimanapun, masalah yang timbul jika enjin
berada di dalam keadaan terbiar (idling), komponen ini tidak
berfungsi. Maka enjin dengan sesuka hati dapat mencemarkan
udara. Komponen ini akan berfungsi hanya pada tahap suhu
400 - 800 darjah Selsius yang mana adalah pada satu kadar
suhu yang sangat panas berbanding enjin.
Semasa pada suhu itu, ia akan bertindak menukar bahan
tercemar dari sisa pembakaran enjin kepada bahan yang
kurang berbahaya kepada alam sekitar. Bagi memastikan
komponen ini cepat dan dapat berada di suhu yang mana ia
boleh beroperasi, kita perlulah memandu dan bukan
meninggalkan kereta hidup terbiar.
Semakin lama enjin dibiarkan dalam keadaan terbiar (idling),
maka semakin lama juga Catalytic Converter ini tidur dan
tidak bekerja. Anda fikirkan apa agaknya yang akan terjadi
kepada alam sekitar?
Sekarang kita sudah mengetahui serba sedikit tentang
keburukan memanaskan enjin. Ada tiga kesan yang penting
di situ iaitu membazir bahan api, mencemarkan alam sekitar
dan merugikan wang ringgit. Mari kita lihat apa pula
kebaikan memanaskan enjin. Khabar-khabar angin
mengatakan memanaskan enjin juga ada faedahnya.
Salah satu perkara yang disebut adalah semasa enjin
ditinggalkan untuk satu tempoh yang agak lama, iaitu
mungkin sehingga satu malam, bahan pelinciran akan turun
meninggalkan komponen yang bergerak di dalam enjin ke
bahagian bawah enjin. Jadi apabila kita mula menghidupkan
enjin, kita perlu mengambil sedikit masa untuk
memanaskannya supaya dapat memberi peluang bahan
pelinciran itu naik dan beredar di setiap inci dan penjuru
komponen dalaman enjin.
Ya, perkara ini benar. Tetapi apa yang anda perlu tahu
bahawa setiap enjin telah dilengkapkan dengan satu
komponen yang dipanggil pam minyak pelincir. Pam minyak
pelincir ini dijana oleh pusingan crankshaft. Semakin laju
crankshaft berpusing, maka semakin cepat pam bahan api
berpusing seterusnya mengagihkan minyak pelincir ke
bahagian dalaman enjin. Untuk memastikan crankshaft ini
berpusing laju, apa yang anda perlu buat? Adakah dengan
hanya membiarkan enjin dalam keadaan terbiar (idling)?
Kesimpulannya di sini, tabiat memanaskan enjin di waktu
pagi yang kononnya lagi lama lagi bagus adalah satu mitos
yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Perkara ikut-ikutan
seperti ini bukanlah satu perkara yang asing bagi kita
rakyat Malaysia.
BMW sendiri pun cukup pantang kalau orang warm-up enjin
keretanya. Sebab dia orang tahu kalau enjin cepat rosak, nanti
mesti penggunanya complaint. Sebab itu kalau boleh BMW nak
lepas hidup saja enjin kereta, terus bergerak cepat-cepat.
Jangan tunggu-tunggu. Ini tidak, siap boleh masuk rumah
makan roti dua tiga keping, minum teh dulu sambil sembang-
sembang dengan bini tapi enjin kereta terbiar hidup.
Satu perkara lagi yang boleh membantu mengurangkan
pencemaran alam sekitar dan pembaziran bahan api adalah
dengan mematikan enjin jika kenderaan tidak bergerak.
Kalau tunggu makwe turun LRT, berhenti tepi jalan bergayut
dengan telefon, tunggu bini masuk pasar mini beli barang
dapur dan tunggu anak balik sekolah depan pagar sekolah,
amalkanlah matikan dulu enjin.
Perkara itu tidak memberi sebarang faedah langsung malah
boleh menyebabkan masalah pencemaran udara dan alam
sekitar serta pembaziran wang ringgit. Sedarkah anda di
dalam tempoh setahun, sikap mengurangkan enjin dibiarkan
hidup dalam keadaan terbiar (idling) ini mampu
menjimatkan beratus ribu juta ringgit dan mampu
menghentikan pelepasan jutaan tan gas rumah hijau ke
atmosfera yang membawa kepada pemanasan global.
Akhir kata, setujukah anda bahawa memanaskan enjin di
waktu pagi boleh menjahanamkan enjin dan dunia?
Save The Planet.
Read rest of entry