Selasa, Ogos 11, 2009
RENUNGKAN, HAYATI DAN FAHAMI
Author: NewMaxSee
| at : 12:40 PTG |
Category :
General
|
Jika kamu memancing ikan... setelah ikan itu terlekat di mata
kail, hendaklah kamu mengambil terus ikan itu. Janganlah
sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja
kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata
kailmu dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup.
Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan
kepada seseorang. Setelah dia mula menyayangimu, hendaklah
kamu menjaga hatinya. Janganlah sesekali kamu terus
meninggalkannya begitu sahaja kerana dia akan terluka oleh
kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan
segalanya selagi dia mengingatimu.
Jika kamu menadah air biarlah berpada, jangan terlalu
mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia
begitu teguh. Cukuplah sekadar keperluanmu. Apabila sekali ia
retak, tentu sukar untuk kamu menampalnya semula. Akhirnya
ia dibuang sedangkan jika kamu cuba membaikinya mungkin ia
masih boleh digunakan lagi.
Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, terimalah seadanya.
Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu
menganggapnya begitu istimewa. Anggaplah dia manusia biasa.
Apabila sekali dia melakukan kesilapan, bukan mudah bagi
kamu untuk menerimanya. Akhirnya kamu kecewa
meninggalkannya. Sedangkan jika kamu memaafkannya, boleh
jadi hubungan kamu akan berterusan hingga ke akhirnya.
Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi yang kamu pasti baik
untuk dirimu, mengenyangkan dan berkhasiat, mengapa kamu
berlengah cuba mencari makanan yang lain. Terlalu ingin
mengejar kelazatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak
boleh memakannya. Kamu akan menyesal.
Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan yang
kamu pasti membawa kebaikan kepada dirimu, menyayangimu
dan mengasihimu, mengapa kamu berlengah cuba
membandingkannya dengan yang lain. Terlalu mengejar
kesempurnaan. Kelak, kamu akan kehilangannya apabila dia
menjadi milik orang lain. Kamu juga yang akan menyesal.