Selasa, Julai 28, 2009

RENUNGAN


Sepanjang beberapa posting yang lepas, telah diceritakan
seksaan-seksaan yang bakal menanti insan yang ingkar di
neraka kelak.

Renungilah, betapa seksaan yang disediakan itu bukan
kepalang sakit, pedih dan derita yang tiada hujungnya.
Untuk mereka yang mahu mengambil iktibar daripadanya,
ia sudah cukup menggerunkan dan sudah tentu kita
manusia yang kerdil ini tidak mampu menghadapinya.

Oleh itu sepatutnya ia akan menyedarkan kita daripada
terus alpa dengan dosa-dosa. Dosa itu bermakna kemurkaan
Allah dan murka Allah balasannya adalah seksa di neraka
kelak. Selagi hayat masih dikandung badan, sebelum tiba
masanya kita dijemput Allah, perbanyakkanlah taubat
untuk dosa-dosa yang kita lakukan, memperbanyakkan amal
ibadah sebanyak-banyaknya dan banyak mengingati Allah.
Semoga mati kita di dalam rahmat dan kasih sayang Allah
S.W.T. dan diampunkanNya dosa-dosa kita.

Jangan berputus asa dengan rahmat Allah S.W.T. Walau
sebanyak mana dosa yang kita lakukan, kalau bertaubat
dengan bersungguh-sungguh, insya-Allah akan diampunkan
Allah kerana Allah S.W.T. itu Maha Pengampun. Namun
kalau dosa itu ada kaitan dengan manusia seperti
menganiaya seseorang, mengumpat, menceroboh harta dan
sebagainya, perlu meminta maaf daripada orang berkenaan
di samping memohon keampunanAllah S.W.T.

Mudah-mudahan demi untuk menghindarkan diri dari
seksa Allah itu akan mendorong kita bersungguh-sungguh
membuat kebaikan dan menjauhi kemungkaran, malah
berusaha mencegahnya.

Wallahua'lam.